HANTU BANGKIT DI SARAWAK
on 26 August 2019 Labels: Cerita
Saya terpanggil untuk berkongsi kisah ini selepas membaca beberapa kisah seram yang berkait dengan hantu bangkit yang berlaku di Sarawak. Juga ada yang membuat request untuk menceritakan apa yang pernah diceritakan kepada saya oleh ibu saya. Cerita ini merupakan kisah benar yang berlaku puluhan tahun dahulu.
Ada yang bertanya adakah ia hanya berlaku dan popular di Sarawak? Mungkin ya kerana ianya agak baharu di tanah semenanjung dan ramai yang baru mendengar tentang kisah hantu bangkit ini. Maafkan saya jika saya silap.
Kisah ni berlaku di satu kawasan di Sarawak. Seorang wanita yang sudah berkeluarga tidak sihat selama bertahun-tahun dan akhirnya meninggal dunia kerana penyakitnya. Usianya masih muda dan sudah mempunyai beberapa orang anak bersama suami. Dia meninggal di hospital dan dibawa pulang ke rumah untuk diuruskan. Mendiang diuruskan dan dipakaikan pakaian kesukaannya ketika dia masih hidup. Seluruh sanak saudara dan rakan taulan datang melihat mendiang buat kali yang terakhir dan dikebumikan selepas 3 hari.
Al kisahnya seorang pak cik bertembung dengannya di jalan utama. Mendiang dikebumikan pada siang harinya. Susuk putih itu sedang berjalan pulang ke rumahnya. Mujur mendiang tidak menegur pak cik tersebut. Dari apa yang pernah diceritakan oleh jiran-jiran yang tinggal berhampiran, mendiang memanggil-manggil minta dibukakan pintu. Selepas kematiannya, suami membawa anak-anak mereka pulang ke kampung selama beberapa bulan.
Selepas itu, kelibat hantu bangkit ini selalu kelihatan pada setiap malam dan akan berjalan pulang untuk bertemu suami dan anak-anaknya. Selepas pintu tidak dibuka, ia akan bergerak ke rumah-rumah yang pernah dikenalinya semasa dia masih hidup. Sama ada kawan ataupun lawan. Semua yang pernah dikenali pasti akan 'diziarahi'. Salah seorang jiran pernah bertempiaran lari dari dapur bila ternampak sepasang tangan putih berkuku merah tiba-tiba melekap di cermin jendela dapur. Kukunya merah kerana sebelum dikebumikan, kukunya dioles dengan cat kuku kesukaannya. Yang pastinya kesan tanah akan melekat di cermin dapur tersebut.
Dan tali yang pernah digunakan untuk menurunkan kerandanya selalu dijumpai di atas jalanraya walaupun tali itu disimpan rapi di dalam stor. Stor itu dikunci kemas dan dijaga oleh seorang penduduk. Setiap pagi dia akan mengutip tali yang memanjang di atas jalan bersama kesan tanah. Ada juga kes seorang budak lelaki menangis di tengah-tengah jalan sebab ada sesuatu yang memegangnya dari belakang sampai dia tidak dapat bergerak langsung.
Selalunya kes hantu bangkit ini berlaku 40 hari sehingga ke 100 hari. Ada yang 40 hari dan ada yang sampai 100 hari.
Inilah kisah pertama hantu bangkit dari saya. Kesahihannya hanya Allah yang maha mengetahui. Apa yang kita tahu, yang kembali selepas mati itu bukanlah seorang manusia lagi. Cerita ini diceritakan oleh ibu saya yang mana ketika kejadian ini berlaku, dia turut berada di situ. Ketika itu dia masih remaja. Ada lagi kisah-kisah lain, inshaaAllah saya akan sambung di lain masa.
.
Credit: Ninie Othman

No comments:
Post a Comment